Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
Image
Image

Ringkasan Eksekutif

Rakan KKM ialah kerjasama-seluruh-kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatan awam di Malaysia. Diilhamkan oleh Malaysia MADANI, ia bertujuan untuk:

  • meningkatkan jumlah petugas penjagaan kesihatan yang kekal dalam sistem penjagaan kesihatan awam untuk memberi manfaat kepada semua pesakit,
  • meningkatkan ‘lantai’, terutamanya bagi B40, melalui peningkatan pelaburan dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
  • meningkatkan ‘siling’, terutamanya bagi M40, dengan menyediakan lebih banyak pilihan penjagaan kesihatan berasaskan nilai untuk membantu menangani kos yang semakin meningkat.

Rakan KKM menawarkan perkhidmatan 'ekonomi premium' di hospital awam terpilih untuk perkhidmatan elektif pesakit luar, pusat jagaan harian, dan pesakit dalam, termasuk:

  • penjagaan yang disesuaikan untuk mereka (personalised care),
  • keupayaan untuk memilih pakar yang merawat mereka,
  • privasi dan keselesaan tambahan

Berbeza dengan inisiatif sebelum ini, Rakan KKM memberi peluang kepada semua petugas penjagaan kesihatan yang terlibat untuk menjana pendapatan tambahan dan bukan hanya pakar sahaja. Yang penting, lebihan pendapatan akan dilaburkan semula bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam untuk semua pesakit.

Ini memastikan bahawa Rakan KKM tidak merugikan suatu pihak walaupun pihak lain mendapat kelebihan (zero-sum game). Sebaliknya, Rakan KKM akan menyumbang kepada kekuatan dan kemampanan keseluruhan sistem perkhidmatan kesihatan awam.

Pelaksanaan Rakan KKM akan dimulakan di beberapa hospital dan akan dikembangkan ke hospital pakar utama yang lain secara beransur-ansur. Inisiatif ini membuktikan komitmen Malaysia ke arah mewujudkan sistem penjagaan kesihatan awam yang teguh, saksama, moden dan mampan, bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira status ekonomi mereka.

Tentang Rakan KKM

Rakan KKM adalah inisiatif seluruh kerajaan (whole-of-government) untuk meningkatkan mutu perkhidmatan hospital dan klinik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk semua rakyat Malaysia. Inisiatif KKM ini menggabungkan kerjasama antara pesakit, pasukan penjagaan kesihatan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta dimudahcara oleh Kementerian Kewangan melalui inisiatif GEAR-uP.

Teras utama Rakan KKM adalah komitmen teguh untuk terus mengekalkan dan meningkatkan akses penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik untuk semua – yang mana hanya bayaran minimum diperlukan untuk mengakses perkhidmatan KKM. Apabila berhadapan dengan persaingan daripada sektor swasta, cabaran getir untuk mengekalkan anggota profesional kesihatan dalam perkhidmatan KKM adalah hakikat yang perlu dihadapi. Rakan KKM digagaskan untuk menangani cabaran ini secara langsung, tanpa menjejaskan prinsip asas penjagaan kesihatan awam yang mudah diakses.

Rakan KKM adalah sebuah perkongsian yang memberi manfaat kepada semua rakan kongsi. Pesakit yang memilih perkhidmatan Rakan KKM akan mendapat akses kepada mutu penjagaan klinikal yang setara di fasiliti KKM, namun dengan pilihan perkhidmatan tambahan atau 'ekonomi premium' pada kadar yang berpatutan. Ini merangkumi penjagaan peribadi, peluang untuk memilih doktor mereka, dan privasi serta keselesaan tambahan.

Perkhidmatan ini bakal ditawarkan untuk perundingan pakar pesakit luar, prosedur harian elektif, pembedahan, dan kemasukan pesakit dalam. Penting untuk ditekankan bahawa dengan pesakit yang memilih perkhidmatan Rakan KKM secara langsung akan menyumbang kepada kemapanan dan kemampanan sistem penjagaan kesihatan awam. Rakan pesakit juga akan mendapat manfaat tambahan tanpa mengorbankan perkhidmatan KKM kepada pesakit lain. Malah, mereka sebenarnya akan menyumbang secara subsidi silang dan menyokong perkhidmatan yang turut dinikmati oleh pesakit awam lainnya, terutamanya melalui pengekalan petugas kesihatan dalam sistem KKM.

Semua pesakit, termasuk mereka yang tidak mengambil bahagian dalam Rakan KKM akan mendapat manfaat melalui pelaburan semula hasil program ini untuk menambah baik peralatan, kemudahan dan perkhidmatan. Memandangkan pesakit Rakan KKM bakal membuat pembiayaan kendiri, sebarang bentuk pembiayaan daripada kerajaan kini boleh difokuskan sepenuhnya kepada pesakit awam. Dengan mengoptimumkan sumber dan meningkatkan kapasiti, termasuk kapasiti di luar waktu operasi biasa, KKM boleh menawarkan perkhidmatan yang lebih cepat dan lebih baik untuk semua.

Pesakit Rakan KKM juga tidak mendapat manfaat dengan mengorbankan pesakit awam lain secara ‘zero sum game’, contohnya dengan memotong giliran. Sebaliknya, dengan mengoptimumkan perkhidmatan dan bekerjasama dengan GLIC, program ini akan memacu pelaburan untuk meningkatkan kapasiti hospital KKM keseluruhannya untuk manfaat semua pesakit. Rakan KKM juga hanya mencakupi perkhidmatan elektif dan tidak melibatkan perkhidmatan kecemasan. Oleh itu, keutamaan dan akses kepada perkhidmatan kecemasan akan kekal berdasarkan keperluan klinikal, dan tidak sekali-kali berdasarkan kemampuan kewangan.

Bagi petugas kesihatan awam, Rakan KKM adalah komitmen KKM untuk membolehkan mereka meneruskan perkhidmatan awam dan kecemerlangan amalan profesional mereka di hospital KKM. Ini boleh dicapai melalui pendedahan kepada pesakit yang pelbagai dan kes yang komprehensif, di samping menikmati tawaran bayaran yang lebih tinggi dan bermaruah, hospital yang lebih lengkap, dan pasukan kerja yang berprestasi tinggi.

GLIC yang bersama Rakan KKM (rakan GLC) akan mendapat tawaran nilai tambah dalam bentuk pendedahan kepada sektor yang dinamik dan berkembang, peluang unik untuk mendapat akses kepada kelompok hospital awam merentasi rangkaian geografi yang luas, serta pakar-pakar klinikal terbaik di negara ini. Selain daripada pulangan pelaburan yang kompetitif melalui untung wang, rakan GLC juga mendapat peluang untuk menunaikan tanggungjawab korporat mereka dengan baik.

Walaupun berhadapan dengan rombakan yang besar, elemen-elemen terbaik daripada program Pesakit Berbayar Penuh (FPP) sedia ada akan dikekalkan secara strategik untuk menjamin kepentingan awam. Walau bagaimanapun, perubahan yang direncana akan memastikan seluruh petugas kesihatan dapat menikmati manfaat, bukan hanya pakar perubatan seperti sebelum ini. Ini penting untuk mengukuhkan nilai-nilai KKM dan memupuk semangat kerja berpasukan, terutamanya kerana penjagaan kesihatan yang terbaik hanya boleh disampaikan oleh pasukan pelbagai disiplin yang kuat. Ini adalah elemen konsep 'Rakan' yang paling utama. Antara perubahan lain termasuk penekanan kepada pelaburan semula dalam meningkatkan bilangan hospital KKM supaya perkhidmatan yang lebih baik dapat disampaikan untuk semua.

Rakan KKM bukanlah langkah ke arah penswastaan. Sebaliknya, ia adalah pendekatan strategik untuk memelihara orientasi awam dan pemilikan hospital-hospital KKM dalam menghadapi permintaan yang semakin meningkat dan kekangan kewangan. Lebihan hasil akan dilaburkan semula dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan awam. Dengan mengutamakan kepentingan awam, KKM sekaligus mematuhi amalan klinikal terbaik dan penggunaan penjagaan kesihatan yang rasional, dan bukannya keuntungan jangka pendek. Dengan itu juga, Rakan KKM berfungsi sebagai sebuah agen transformasi untuk memangkin penjagaan kesihatan berasaskan nilai dalam seluruh ekosistem.

Kami merancang untuk melaksanakan Rakan KKM secepat mungkin, bermula dengan beberapa hospital di pusat bandar terpilih yang mempunyai kapasiti mencukupi, dan seterusnya dikembangkan dengan melibatkan kebanyakan hospital pakar di seluruh negara.

Setelah Rakan KKM berkembang dan matang, semangat kerja dan prestasi pasukan penjagaan kesihatan kami dijangka akan meningkat, seterusnya menambah baik mutu perkhidmatan kepada semua pesakit. Akses kepada pilihan 'ekonomi premium' yang mampu milik ini dijangka akan lebih meluas pada masa akan datang. Di samping itu, hospital dan klinik KKM akan dapat dinaik taraf dan dimodenkan agar terus menawarkan akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi kepada awam pada masa hadapan.

Rakan KKM adalah sebuah terjemahan iltizam untuk memastikan sistem penjagaan kesihatan awam kekal teguh, saksama, dan mampan. Ia adalah sebuah langkah berani untuk menjamin agar setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira status ekonomi mereka, mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang hari ini dan di hari muka. Penglibatan semua pihak sebagai rakan kongsi dalam usaha ini akan menyumbang ke arah membina Malaysia yang lebih sihat dan kuat untuk generasi mendatang.

Soalan Lazim

Umum

Rakan KKM ialah kerjasama-seluruh-kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia. Diilhamkan oleh Malaysia MADANI, ia bertujuan untuk :

  • Meningkatkan jumlah petugas penjagaan kesihatan yang kekal dalam sistem penjagaan kesihatan awam untuk memberi manfaat kepada semua pesakit,
  • Meningkatkan pelaburan dalam sistem penjagaan kesihatan awam, yang akan memberi manfaat kepada semua pesakit terutamanya golongan B40.
  • Menyediakan lebih banyak pilihan penjagaan kesihatan berasaskan nilai untuk membantu menangani kos yang semakin meningkat, terutamanya untuk golongan M40.

Inisiatif ini menawarkan perkhidmatan 'ekonomi premium' di hospital awam terpilih, termasuk penjagaan yang disesuaikan untuk mereka (personalised care), pilihan pakar yang merawat, dan privasi serta keselesaan yang dipertingkatkan untuk perkhidmatan pesakit luar elektif, perkhidmatan penjagaan harian, dan perkhidmatan pesakit dalam.

Ciri utama Rakan KKM adalah komitmennya terhadap manfaat kepada awam. Tidak seperti inisiatif terdahulu, ia melibatkan keseluruhan pasukan penjagaan kesihatan dalam model sokongan pendapatannya, dan bukan hanya pakar sahaja Yang penting, lebihan pendapatan akan dilaburkan semula untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam bagi semua pesakit. Ini memastikan bahawa inisiatif ini bukan hanya menguntungkan satu pihak , tetapi sebaliknya menyumbang kepada kekuatan keseluruhan dan kelestarian sistem penjagaan kesihatan awam.

Inisiatif ini direka untuk mengekalkan petugas penjagaan kesihatan dalam sektor awam sambil memberikan mereka pendapatan yang lebih tinggi dan suasana kerja yang lebih baik. Rakan KKM akan dimulakan di n beberapa hospital dan akan dikembangkan secara beransur-ansur ke hospital pakar utama yang lain di seluruh negara.

Rakan KKM disokong oleh pembiayaan permulaan daripada Kementerian Kewangan dan pelaburan daripada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs).

Rakan KKM mewakili pendekatan strategik untuk mengekalkan pemilikan awam terhadap kemudahan penjagaan kesihatan sambil menangani peningkatan permintaan dan realiti kekangan kewangan. Ia bertujuan untuk memacu penjagaan kesihatan berasaskan nilai di seluruh ekosistem, mematuhi amalan klinikal terbaik dan penggunaan penjagaan kesihatan yang rasional.

Inisiatif ini menegaskan semula komitmen Malaysia terhadap sistem penjagaan kesihatan awam yang kukuh, saksama, moden, dan mampan, memastikan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira status ekonomi mereka.

Untuk Pesakit

Pesakit yang memilih untuk menyertai Rakan KKM akan terus menikmati penjagaan perubatan bertaraf tinggi yang sedia ada ditawarkan dalam penjagaan kesihatan awam Malaysia. Dengan pilihan ‘ekonomi premium’, pesakit Rakan KKM akan mendapat keselesaan dan kemudahan termasuk:

  • penjagaan yang disesuaikan untuk mereka (personalised care),
  • boleh memilih pakar yang merawat mereka,
  • privasi dan keselesaan tambahan di wad.

Perkhidmatan di bawah Rakan KKM tidak akan bersaing dengan tahap kemewahan dan harga perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta sedia ada.

Untuk Petugas Kesihatan

Rakan KKM adalah program secara sukarela.

Petugas penjagaan kesihatan yang memilih untuk meluangkan masa tambahan mereka kepada inisiatif Rakan KKM mempunyai peluang untuk menjana pendapatan tambahan.

Mereka yang memilih untuk tidak menyertai Rakan KKM tidak akan dirugikan dalam apa jua cara.

Lain-lain

Rakan KKM adalah inisiatif kerjasama-seluruh-kerajaan yang disokong oleh Kementerian Kewangan, dan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), melalui inisiatif GEAR-uP.

Hubungi Kami

Please fill the required field.
Please fill the required field.
Please fill the required field.
Please fill the required field.

Didayakan oleh Pejabat Transformasi Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Sejak 18 Nov 2024 :

Paparan terbaik menggunakan pelayar web versi terkini dengan resolusi minima 1366x768

PenafianDasar Privasi | Dasar Keselamatan

Hubungi Kami

Please fill the required field.
Please fill the required field.

We use cookies

This website uses cookies to ensure you get the best experience on our website. Cookies Policy